10 Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia


Seiring dengan kemajuan teknologi selama bertahun-tahun, dengan ciptaan media sosial dan permainan elektronik nampaknya menjadi hobi baharu dan lebih disukai. Pada era ini, kanak-kanak pada masa kini tidak bermain permainan tradisional melayu di Malaysia seperti dahulu. Malangnya, permainan tradisional melayu nampaknya semakin luntur daripada minat golongan milenial.

Permainan tradisional melayu dapat meningkatkan kemahiran dan menjaga kesihatan diri. Artikel ini akan memperkenalkan semula permainan tradisional melayu kepada pembaca supaya permainan tradisional melayu tidak dilupakan. Berikut adalah 10 permainan tradisional melayu di Malaysia yang biasa dimainkan di dalam dan luar rumah.




1. Gasing


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.

Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing. Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada tali nilon dan biasanya 1 meter panjang.




2. Wau


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Permainan wau merupakan salah satu permainan tradisional orang Melayu sejak ratusan tahun dahulu. Permainan tersebut mengandungi unsur-unsur budaya Melayu asli. Ini dapat dilihat dalam bentuk corak dan rekaan yang terdapat pada wau.

Permainan ini merupakan salah satu hobi penduduk di luar bandar khususnya bagi negeri-negeri di Barat Laut Kedah, Perlis dan Kelantan. Permainan layang-layang telah menjadi tradisi permainan selepas musim menuai. Terdapat 19 jenis Wau seperti Wau Bulan, Wau Helang, Wau Seri Bulan dan lain-lain.




3. Congkak


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Congkak ialah sejenis permainan tradisional Melayu. Selalunya, ia menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan kebiasaannya buah congkak menggunakan biji getah atau guli. Congkak dipercayai berasal dari dunia Afrika atau Arab. Bagaimanapun, bukti tertua dijumpai di Jordan.

Di Asia Tenggara, congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupakan pusat perdagangan pada waktu dahulu. Nama "congkak" dipercayai berasal dari perkataan Bahasa Melayu "congak" yang bermaksud pengiraan mental. Selain orang Melayu, keturunan peranakan India dan Baba Melaka turut meminati permainan Congkak.




4. Guli


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Permainan guli biasanya melibatkan lontaran guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang. Kawasan tanah rata dan lapang ialah gelanggang yang sesuai sebagai tempat bermain guli.

Pemain pertama akan menjentik gulinya ke semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan ke guli-guli yang ada. Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.




5. Galah Panjang


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Galah panjang adalah sejenis permainan tradisional melayu yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah kosong. Gelanggang yang dibuat mengandungi 2 lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain. Permainan tradisional melayu di Malaysia ini memerlukan 2 kumpulan.

Setiap kumpulan akan melakukan pemilihan ketua. Ketua dari kedua-dua kumpulan akan mengundi siapa yang menjaga gelanggang dan siapa yang menempuh gelanggang. Kemenangan tercapai apabila orang yang telah melepasi garisan paling akhir melepasi garisan permulaan.




6. Sepak Raga


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Sepak raga merupakan sejenis permainan yang menggunakan bola rotan. Ia telah wujud sejak 600 tahun dahulu pada Zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15 M. Ia bertujuan untuk menguji kecekapan permain untuk menyepak, menanduk, mendada atau melutut bola raga dan menghalangnya daripada jatuh ke tanah.

Pada masa ini sepak raga dimainkan apabila ketiadaan jaring. Sepak raga dimainkan dalam bulatan, manakala sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring. Sepak raga juga boleh digantikan dengan bola lain sekiranya ketiadaan bola rotan, dikenali sebagai menimang bola dalam bulatan.




7. Batu Seremban


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Seremban atau Selambut ialah sejenis permainan tradisional melayu yang dimainkan di Malaysia. Selambut adalah sebutan di sebelah utara dan pantai timur Semenanjung, manakala di pantai barat semenanjung permainan ini dikenali sebagai Seremban. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak perempuan secara individu atau secara berkumpulan seramai dua hingga lima orang.

Permainan Batu Seremban cuma memerlukan beberapa biji buah, guli kaca, biji getah, anak batu kerikil atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasa digunakan, lazimnya sebanyak lima biji. Selain itu, karung kain yang dijahit dan diisi dengan biji saga, pasir dan sebagainya juga digunakan.




8. Sorok-sorok


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Sorok-sorok atau juga dikenali sebagai aci sorok ialah sejenis permainan kanak-kanak yang turut dimainkan di Malaysia. Permainan ini dimainkan dengan sebilangan pemain menyembunyikan diri mereka dalam had kawasan tertentu dan dicari oleh seorang atau lebih pencari.

Ia boleh dimainkan oleh kanak-kanak dan ia amat mudah, tanpa had bilangan pemain dan tidak memerlukan peralatan. Lebih ramai yang bermain mendatangkan lebih keseronokan dan bertambah meriah lagi. Lazimnya siapa yang dapat menyorok paling lama dianggap pemenang.




9. Teng-teng


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Teng-teng atau juga dikenali sebagai Ketinting merupakan sejenis permainan tradisi kanak-kanak. Ia dimainkan oleh lelaki dan perempuan, sungguhpun ia lebih disukai oleh kanak-kanak perempuan daripada kanak-kanak lelaki kerana kerana permainan ini lembut dan sesuai untuk kaum Hawa.

Pemain dikehendaki melompat ke dalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak kedua dan petak sembilan yang perlu dilompat dengan kedua-dua belah kaki. Sekiranya pemain terpijak garisan, ia dianggap batal dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.




10. Lompat Getah


Permainan Tradisional Melayu Di Malaysia

Permainan lompat getah, juga disebut sebagai "lompat tali" dan "zero point"oleh masyarakat segelintir tempat, ialah sejenis permainan tradisional melayu di Malaysia. Memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang pemain, iaitu seorang yang memegang hujung kanan getah dan seorang di hujung kiri getah, manakala seorang lagi sebagai orang yang akan melompat.

Bagi menentukan giliran, kebiasaannya kaedah lai lai li tam plom akan digunakan. Jika ramai pemain, "ketua" kedua-dua pasukan perlulah ow som untuk menentukan giliran. Pemain tidak boleh menyentuh tali. Jika tidak, pemain dikira "keluar". Manakala jika "ketua" yang menyentuh tali, seluruh pasukan termasuk "ketua" dikira "keluar" dan pasukan seterusnya akan memulakan permainan.
Terbaru Lebih lama